~assalamualaikum ini adalah cerita hatiku اهلا وسهلا ومرحبا بكم ~

Sabtu, 19 Oktober 2013

Pemikiran Ibnu Tufail




4.1       PEMIKIRAN IBNU TUFAIL

4.1.1                Falsafah dan Agama

Menurut Ibnu Tufail falsafah dan agama adalah selaras, bahkan merupakan gambaran dari hakikat yang satu. Ibnu Tufail menyedari terdapat perbezaan tahap akal antara sesame manusia melalui gambaran tokoh-tokoh dalam falsafah tersebut. Disebabkan itu, beliau menganggap tidak semua sampai kepada Wajib al-Wujud dengan jalan berfalsafah seperti yang ditempuh Hayy. Asal, Salaman  dan masyarakat lain tidak mungkin dapat mengenali Al-Haq, kerana keterbatasan akal mereka. Oleh itu, terdapat seorang penolong iaitu adanya nubuwwah yang berfungsi menjelaskan sesuatu sesuai dengan kadar akal manusia. Asal mempunyai akal yang lebih tinggi berbanding akal Salaman dan masyarakat awam. Disebabkan itu ia memahami syari’at dan menerima pengalaman-pengalaman Hayy.
            Huraian menunjukkan keberhasilan Ibnu Tufail dalam pelbagai pemikiran yang berkembang di masanya dalam satu karya, Hayy Ibnu Yaqzan. Ibnu Tufail juga menggambarkan bahawa dengan akal “khusus” setelah melalui pemikiran dapat mengetahui kebenaran yang tertinggi iaitu Allah, sama seperti yang dijelaskan di dalam wahyu. Oleh itu, wahyu amat diperlukan untuk memberi bimbingan kepada akal yang tidak dapat mencapai tahap khusus, juga sebagai petunjuk pelaksanaan ibadah.

4.1.2                Epistimologi

Ibnu Tufail menunjukkan dua jalan untuk sampai kepada objek pengetahuan yang Maha Tinggi atau Tuhan. Jalan pertama ialah wahyu, seperti yang dialami Asal, dan jalan kedua adalah falsafah seperti yang dilakukan Hayy, jalan pertama lebih pendek dari jalan kedua.
            Dari kesimpulan cerita dapat digambarkan bahawa ma’rifah (pengetahuan) melalui akal ditempuh dengan jalan keterbukaan, peneliti, pencarian, generalisasi dan menyimpulkan. Oleh itu, ma’rifah merupakan sesuatu yang dilatih bermula dari  yang konkrit kepada yang abstrak, dari yang khusus kepada yang global. Seterusnya dilanjutkan dengan pemerhatian yang berterusan. Ibnu Tufail juga menjelaskan proses fungsinya, apa yang ditangkap oleh pancaindera disampaikan ke otak, kemudian otak mengolahnya dan mengembalikannya ke seluruh badan melalui saraf yang sama.

4.1.3                Kosmologi Cahaya

Ibnu Tufail menerima prinsip dari satu tidak ada lagi apa-apa kecuali satu itu. Manifesto kemajmukan kewujudan dari yang dijelaskan dalam gaya Neo-Platonik yang melihat sebagai tahap-tahap berurutan pemancaran yang berasal dari cahaya Tuhan. Proses itu pada prinsipnya sama dengan refleksi terus cahaya matahari ke cermin.

4.1.4                Jiwa


Ibnu Tufail berkaitan dengan konsep tentang jiwa pada asalnya selaras dengan konsep Al-Farabi. Terdapat tiga kategori jiwa iaitu pertama jiwa Fadhilah iaitu yang kekal dalam kebahagiaan kerana mengenali Tuhan dan menumpukan perhatian dan renungan kepadaNya, jiwa ini ditempatkan di syurga. Kedua, jiwa Fasiqah iaitu jiwa yang kekal dalam kesengsaraan dan tempatnya di neraka, kerana pada asalnya jiwa ini mengenal Allah tetapi telah meninggalkannya dan melupakanNya dengan melakukan maksiat. Ketiga, jiwa Jahiliyyah iaitu jiwa yang musnah kerana tidak pernah mengenal Allah.



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan